Ringkasan Anugerah Industri Muzik ke-23

Bagi penganjuran AIM ke-23, pihak penganjur telah menerima menerima 650 pencalonan bagaimanapun hanya 105 disenarai pendek bagi 21 kategori yang dipertandingkan untuk karya yang diterbitkan dalam tempoh satu setengah tahun bermula 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2022.

Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) yang juga Jawatankuasa Penganjur AIM23, Rosmin Hashim Rosmin memaklumkan seramai 113 juri terbabit dalam penilaian calon dengan setiap kategori diadili antara tujuh hingga 10 pakar dalam bidang masing-masing. Juri terdiri daripada Maestro Muzik, Datuk Mokhzani Ismail merangkap ketua juri, selain antaranya Omar K, DJ Fuzz, Adi Priyo, Shah Slam, Datuk Syafinaz Selamat, Fauzi Marzuki, Datuk Acis, Dato' Afdlin Shauki, Mas Idayu dan Noryn Aziz.

Katanya, proses penjurian dilakukan secara terperinci dan tiada unsur pilih kasih malah andai juri mempunyai kepentingan dalam sesebuah kategori, mereka tidak akan dibenarkan duduk di kerusi berkenaan. Memilih juri serta pakar dalam bidang masing-masing juga antara keutamaan jawatankuasa bagi memastikan segala-galanya telus, begitu juga dengan kelancaran penilaian.

Bagi penilaian kategori utama iaitu ‘Rakaman Lagu Terbaik’ dan ‘Rakaman Album Terbaik’, ia dilaksanakan pada 12 Ogos disusuli penjurian kategori lain yang berlangsung pada 15,16 dan 24 Ogos lalu.

Kategori baru dan dikembalikan

  1. Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik
  2. Runut Bunyi (OST) Terbaik Di Dalam Filem/Drama
  3. Rakaman Lagu Terbaik
  4. Lagu Cina Tempatan Terbaik (kali terakhir pada 2010)
  5. Lagu Bahasa Melayu Terbaik yang Dipersembahkan oleh Artis Luar Negara (kali terakhir pada 2014)